Sabtu, 18 April 2020

Cerita Hantu - Hantu Tasik

Peristiwa ini terjadi semasa Lin baru masuk sekolah menengah dulu. Pelajar tingkatan 1, semestinya menjalani Minggu Orientasi. Bermalam di sekolah baru, sememangnya membawa makna mendalam pada diri Lin. Ceritanya begini …….

            Malam itu, kami di bawa ke sebuah taman berdekatan dengan sekolah itu. Di sana kami menjalani sesi suai kenal dan pelbagai aktiviti lain. Antara aktiviti yang kami ikuti ialah permainan cari suara kawan. Mata kami di tutup dan permainan bermula. Hanya sebentar mendengar nama Lin di sebut berulang kali, lin merapati `suara’ itu. Lin pegang tangan `dia’, sejuk… eh, kenapa sejuk ni? Lin rasa sangat dah nak buka penutup kain yang menghalangi pandangan Lin tapi atas rasa ikut peraturan, Lin membatalkan niat Lin.

            Tiba-tiba tangan Lin ditarik secara kasar oleh seseorang. Amaran keras diberikan. “Hei, kamu buat apa sana tu?” Guru yang diamanahkan menjaga keselamatan kami marah sambil membawa Lin ke arah yang Lin tak tahu mana tujuannya. Lin didudukkan. Penutup kain Lin dibuka. Terkebil-kebil mata Lin melihat cikgu yang berdiri bercekak pinggang melihat tajam ke arah Lin. “Kamu buat apa sana tadi tu hah?” tanyanya kasar. “Cari kawan cikgu…”

            “Kawan apa? Semua kawan kamu dah berkumpul di sini. Dan kamu pula terus berjalan menuju ke arah kolam itu. Kamu nak terjun?” sebaik saja cikgu berkata begitu, angin kuat tiba-tiba datang entah darimana. “Astaghfirullahal’azim…” Kedengaran cikgu beristighfar.

            Aku memandang ke kolam yang di maksudkan cikgu. Ya, memang benar. Kolam itu besar dan pastinya dalam. Bukan kolam buatan. Ia adalah kolam semulajadi. Besar dan luas seperti tasik. Lebih benar, jika Lin katakan ianya adalah tasik.

            Tidak jauh dari gigi air, kelihatan bagai ada satu lembaga sedang berdiri sambil merenung jauh ke hujung tasik. Pakaiannya berwarna putih, hajat di hati ingin menegur tapi… baru Lin perasan sebaik saja lembaga itu menoleh ke arah Lin dan menyeringai. Baru Lin teringat cerita yang Lin dengar, ada perempuan pernah bunuh diri di dalam tasik itu sebab dia mengandung anak luar nikah. Ya Allah, Lin pun pengsan…