Sabtu, 18 April 2020

Pengalaman Perjalanan Ke Melaka




Nama saya Lydia dan ingin saya menceritakan kepada KC serta para pendengar tentang pengalaman yang saya serta keluarga lalui sedetik lalu ketika kami pulang ke Melaka pada musim cuti sekolah.

Pada awal perjalanan, hari masih siang, namun kerana keadaan trafik yang menjadi semakin buruk di lebuhraya Utara-Selatan itu, akhirnya perjalanan kami diheret ke lewat petang. Semasa itu, kami telah meminjam kereta bapa mentua saya yang merupakan sebuah MPV. Kesemua lima orang anak kami berasa begitu ghairah dan setelah beberapa jam bermain bersama, anak-anak kami mula senyap, mungkin kerana keletihan, ada juga yang tertidur. Ketika itu hari sudah mula senja dan Maghrib hampir menjelma.

Tiba-tiba, dalam keadaan senyap itu anak saya yang paling kecil dan masih dalam usia bayi, menangis sekuat-kuat hatinya hinggakan kelihatan seperti dalam keadaan histeria. Suami saya yang ketika itu sedang memandu, cuba untuk menenangkan dan memujuk anak kami. Tetapi anak kami tetap menangis tanpa henti. Keadaan tiba-tiba menjadi kelam-kabut dan saya mulai rasa tidak sedap. Sebenarnya beberapa minit sebelum itu, hati saya sudah berkata, “Oh..inilah kawasan yang orang katakan keras… Bau pun lain macam... Iiish jangan kena sudah!”

Balik kepada keadaan kelam-kabut itu - Fikiran saya menjadi buntu, semakin saya cuba untuk menenangkan anak saya, semakin buruk jadinya. Sambil saya menggendong anak saya itu, sempat juga saya melihat ke luar untuk memastikan tiada apa-apa yang ngeri yang dinampaknya sehingga menangis sekuat itu. Alangkah terperanjatnya saya, apabila saya terperasan di cermin tepi kereta kami, di bahagian tempat duduk saya, tubuh seorang anak kecil berambut panjang seperti menggantungkan tubuhnya di atas kerusi bahagian tengah. Rambutnya menurun ke muka anak saya yang sedang lena tidur di tempatnya. Hati berkata “Eh…takkan ni Zana (anak perempuan kami satu-satunya)… Tak salah dia duduk di sebelah belakang… Takkan dia nak buat macam tu…” Saya garang orangnya dan biasanya kalau anak berlaku nakal, saya akan memarahi mereka dengan serta-merta.

Saya tak terkata dan mendiamkan diri dan cuma menyuruh suami memasang CD ayat-ayat suci dengan sekuat-kuatnya. Ibu mana yang tidak cemas melihat anak-anaknya di belakang bersama ‘makhluk’ itu? Seribu satu perasaan bermain di dalam fikiran saya, tapi kerana tidak mahu membuat keadaan lebih buruk lagi, saya tetap mendiamkan diri dan membaca berbagai surah Al-Qur’an di dalam hati. Kemungkinan makhluk itu bergantung di situ selama tiga hingga lima minit, tapi rasanya seperti lebih lama dari itu.

Akhirnya anak kami berhenti menangis dan saya memberanikan diri dan menoleh ke belakang. Alhamdulillah, ‘makhluk’ itu tiada lagi di situ dan anak saya yang pada masa itu berada di bawah ‘makhluk’ itu masih tidur lena. Saya terus mencium bayi kami dan terus membaca surah-surah sambil menyembuh ke dahinya. Saya juga memberitahu suami supaya memandu dengan laju lagi supaya sampai ke destinasi secepat mungkin.

Keesokan harinya saya terus memberitahu suami dan alangkah terperanjatnya dia dengan apa yang diberitahu. Semenjak hari itu, kami tidak lagi memandu di lebuhraya itu pada waktu malam.